Friday, February 27, 2009

Perihal "Adakah anda akan menghabiskan perkara yang belum selesai?"



Video ini merupakan sedikit sambungan untuk entri yang lepas. Aku sedikit terharu menonton video ini. Nick Vujicic merupakan seorang yang mempunyai kekurangan dari segi fizikalnya. Tapi dia mempunyai semangat yang tinggi untuk menutup kekurangannya itu. Aku percaya bahawa setiap satu dari kita mempunyai kelemahan masing-masing. Tapi adakah anda berjaya menutup kelemahan tersebut?

Aku juga tertarik dengan konsep jangan putus asa dalam video motivasi ini. Kamu semua pasti pernah gagal bukan? Ada yang gagal sekali dan ada yang gagal selalu. Tetapi pepatah menyebut gagal sekali bukan kamu gagal selamanya. Yang penting, kamu cari jalan untuk bangkit semula untuk misi yang satu. Berjaya. Tapi kuatkah kita dalam pencarian jalan bangkit itu?

Dan aku percaya, selama mana pun kita mencari jalan tersebut kamu pasti akan jumpa jalannya. Kerana satu, kamu berusaha. Bukankah tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang sekiranya kita tidak mau berubah?

Dan sudah pasti, dalam berusaha pasti ada pahit dan manisnya. Dan setelah kamu berada di puncak kejayaan nanti, pasti kamu akan ketawa kecil mengimbas kembali pahit manis tersebut.

USAHA itu adalah lima huruf yang terlalu besar untuk dihuraikan. Tapi usaha akan semudahnya terhapus dengan wujudnya putus asa.

Sedikit motivasi untuk diri sendiri :)

Perihal "Kemaskini Pelajaran edisi Febuari"

Lebih kurang sembilan bulan lagi sebelum peperiksaan besar yang bakal aku hadapi pada tahun ini yakni, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Aku tahu, inilah kemuncak zaman persekolahan aku yang menilai samada aku telah memanfaatkan sebaiknya pendidikan formal di sekolan selama 11 tahun. Dan sudah pasti, berat beban yang harus dipikul bagi seseorang yang diharapkan oleh ibubapanya untuk berjaya. Aku percaya, ibubapa kamu semua pun pasti mempunyai harapan yang sama untuk kamu bukan?

Jadi, aku tergerak untuk membuat sedikit Perihal Kemaskini Pelajaran aku di dalam blog ini. Sekadar untuk menyedarkan diri bahawa kemajuan haruslah dilakukan. Jadi, Perihal Kemaskini Pelajaran akan aku adakan di laman blog ini setiap bulan.

1. Bahasa Malaysia
Untuk pelajaran Bahasa Melayu, aku perlu lebih fokus dengan lebih lagi pada bahasa tatabahasa. Sememangnya, aku benci untuk mengikut peraturan dalam berbahasa. Lebih-lebih lagi sekiranya kamu terpaksa mengingat apa itu Kata nama, Frasa, Kata Kerja, Kata Ajuk, Kata Mengata dan sebagainya. Tapi aku sangat suka bahagian karangan serta kajian novel (KOMSAS). Menulis tanpa perlu memikirkan tatabahasa secara kritikal adalah lebih menggembirakan. Kadang-kadang bila aku terlalu memberi perhatian terhadap tatabahasa, penggunaan kosa kata serta peribahasa akan berkurangan dalam penulisan aku. Jadi, katakan tidak pada tatabahasa gaya kritikal.

2. Bahasa Inggeris
Aku rasa, aku menghadapi perihal yang sama dengan Bahasa Malaysia untuk Bahasa Inggeris. Penguasaan "grammar" aku adalah sangat minimal. Tapi aku gemar menggunakan glossary yang entah apa dalam essay aku. Ya, aku sangat suka akan pelajaran Bahasa Inggeris. Ada sedikit kegembiraan semasa pelajaran dan pembelajarannya.

3. Matematik
Aku merupakan seorang individu yang sangat benci akan benda yang memerlukan otak aku memproses nombor-nombor secara maksima. Aku rasa, pelajaran matematik aku berada pada tahap yang sangat kritikal. Walaupun boleh lulus, tetapi untuk mencapai tahap cemerlang adalah begitu sukar. Aku tahu kunci kejayaan untuk pelajaran kira-kira adalah dengan membuat latihan yang maha banyak. Aku tahu kuncinya, tapi aku malas untuk mencari pintu tersebut.

4. Matematik Tambahan
Bagi aku, Matematik tambahan adalah lebih senang sedikit berbanding dengan konsep Matematik Moden. Ini adalah kerana kebanyakkan benda yang aku selalu lakukan pada setiap hari sangat berkenaan dengan pelajaran ini. Namun, kelemahan yang aku kenalpasti dalam pelajaran yang ini adalah kesukaran mengingat formula yang harus digunakan. Terutama jurus formula rahsia yang tidak akan dibekalkan dalam kertas ujian kamu. Kuncinya sama juga dengan Matematik Moden. dan, aku malas

5. Biologi
Biologi adalah satu pelajaran yang bagi aku, baik-baik saja. Aku suka biologi kerana ianya bersangkut paut dengan kehidupan kita. Tapi, aku paling benci dengan terma-terma biologi yang perlu di hafal serta di eja dengan betul. Sedikit membosankan untuk menghafal nama-nama yang panjang.

6. Kimia
Pada tahun ini, aku dapat rasakan sedikit percambahan minat aku terhadap pelajaran Kimia ini berbanding pada tahun lepas. Aku telah dapat kuasai untuk bab-bab pada tahun ini. Tapi aku masih tidak pedulikan bab-bab yang aku tinggal-sengajakan pada tahun lepas.

7. Fizik
Aku merupakan seorang yang sangat meminati pelajaran ini. Mungkin sedikit bersangkut paut dengan hormon seorang lelaki yang sukakan benda-benda mesin dan sewaktu dengannya. Sekali lagi, aku sangat teruk dalam pengiraan untuk pelajaran ini. Tapi, selain daripada soalan kira-kira, aku boleh melakukan dengan jayanya.

8. Pendidikan Islam
Bagi aku, ini adalah mata pelajaran yang bonus. Aku anggap, Pendidikan Islam ini seharusnya kita belajar bukan untuk peperiksaan, tapi untuk kehidupan. Dengan itu, kamu boleh hayatinya dengan lebih mendalam iaitu dengan praktikkan apa yang kamu belajar dalam kehidupan seharian. Tapi aku kurang sedikit pada bahagian tajwid serta tulisan jawi. Mungkin itulah akibat tidak khatam Al-Quran sampai umur 17 tahun sekarang. Tapi aku cinta pelajaran.

9. Sejarah
Aku sangat meminati sejarah. Pada pandangan aku, sejarah adalah sesuatu yang setiap orang harus ambil kisah, tetapi tidak menelan sejarah secara bulat-bulat. Yang sukar dalam pelajaran ini adalah untuk mengingati nama orang, nama tempat serta tarikh. Lebih-lebih lagi nama mat salleh dari britain, sepanyol dan sebagainya.

Sebagai konklusinya, aku rasa aku patut berhenti merasa dan terus bertindak. Aku juga perlu berhenti dari terus menerus memberi alasan yang menyebabkan diri aku semakin malas. Selain itu, aku juga perlu mencari rakan-rakan yang gemar belajar. Selain itu, pengurusan masa aku juga harus dibaiki. Disebabkan aku pelajar baru di sekolah baru sekarang, aku ada sedikit perasaan kekok untuk mengajukan soalan kepada guru-guru. Maklumlah, masih belum kenal lagi dengan mendalam karekter-karakter setiap guru.

Oh ya, menaip tentang perihal ini membuat aku teringat pada rakan-rakan seperjuangan di komuniti Malakat92 yang sudah semakin jarang aku jenguk. Mungkin aku patut aktif kembali di sana. Siapa tahu mungkin aku dapat sedikit rahsia dari rakan-rakan bijak di forum itu. Seperti soalan macam-bocor pada PMR yang lalu :)

Wednesday, February 25, 2009

Perihal "Gegarkan Musik Ku"

RockMyTune - Music Video & Lyrics
Aku baru sahaja selesai membuang sedikit masa hidup aku untuk mengatur serta megemaskan laman web musik video dan lirik aku iaitu RockMyTune - Music Video & Lyric atau dalam bahasa melayu bakunya, GeGarkan MusikKu. Aku dah biarkan laman web tersebut tanpa update untuk seberapa lama yang lalu. Kesibukan semakin menelam aku. Aku semakin kelam dalam kesibukan.

Oh ya, musik-musik di dalam laman web tersebut adalah lagu yang mungkin aku rasa menarik untuk telinga aku. Jangan bising kalau kamu rasa lagu yang aku dengar menyakitkan telinga, menyembah syaitan, lari akidah dan sebagainya. Aku tahu apa yang aku dengar. Kamu diam sahaja. Kalau ingin bersuara mari kita nyanyi bersama.

Monday, February 23, 2009

Perihal Gadis Fantasi



Fantasy Girl - Caprice. Satu percubaan yang baik. Sukar untuk kita melihat video-video klip sebegini di produksikan oleh rakyat tempatan. Mungkin sedikit tidak enak sekiranya anda menonton tayangan video klip tersebut di depan IbuBapa kamu.

Tapi aku suka konsep video ini. Lihat lagi yang lain di CapriceTV. Mahu berkenalan dengan Mamat HipHop ini? Layari CapriceOnline.

p/s: Nampaknya Hiphop lokal semaking menghampiri ke arah HipHop yang bukan lokal. Kool

Perihal talian jalur lebar Streamyx sudah kembali

Streamyx I love You to the death. Lajukan talian streamyx anda

Sejak berpindah ke kawasan yang baru, aku terpaksa meninggalkan kekasih tegar aku yakni talian jaluar lebar Streamyx. Walaupun ramai yang mencaci kebolehan serta kemampuan Sang Streamyx, namun aku masih boleh kata yang Streamyx lagi bagus dari talian jalur lebar 3G daripada Celcom.

Aku telah disiksa secara mental oleh talian Celcom BB (BroadBand) yang memang cukup megugat tahap kesabaran manusia tahi internet macam aku. Berikut kelemahan Celcom BB yang telah aku kenal pasti sepanjang 2 bulan lebih menggunakannya:

  1. Talian 3G yang sangat lembab. Aku kurang pasti apa permasalahannya. Tapi ianya memang lembab walaupun setiap kali talian jalur lebar disambung, popup pada taskbar memberi jumlah koneksi sebanyak 3.6Mbps.
  2. Jalur Lebar 3G mempunyai satu lagi keburukan iaitu mereka menggunakan alamat IP (IP Address) yang dikongsi bersama-sama pengguna Celcom BB di sekitar kamu. Bayangkan sekiranya di kawasan perumahan seperti aku sekarang, sudah tentu terdapat berpuluh-puluh orang yang turut melanggan servis Celcom BB.
  3. Disebabkan menggunakan Alamat IP yang dikongsi, maka kebanyakkan lawan web akan menghalang aku dari mengakses mereka kerana alamat IP tersebut telah dihalang (blocked IP Address/Banned).
  4. Download limit yang mempunyai kadar bandwith sebanyak 5GB sebulan. Siapa yang tahan? Disebabkan perkara ini aku terpaksa berhenti mengakses laman web warez serta menggunakan rapidshare kerana jumlah yang sangat sikit ini. Ini juga merupakan salah satu alasan mengapa aku berhenti melihat muvi-muvi terkini.
  5. Talian yang sentiasa putus. Aku masih tidak tahu apa permasalahannya. Namun ada berkait rapat dengan modem 3G tersebut.
Secara keseluruhannya, hanya satu kelebihan Celcom BB yang aku lihat iaitu senang di bawa ke sana sini. Ya, sangat bagus untuk mereka yang sering berpindah-randah. Tapi, kalau kamu rasa kamu akan tinggal di tempat yang sama untuk seberapa lama, lebih baik guna Streamyx.

Hari ini, talian Streamyx telah sukses dipasang dan ketika ini sudah mulai berfungsi. Sedikit gembira walaupun taliannya masih belum begitu stabil. Aku sudahpun ada beberapa perancangan untuk dilakukan dengan adanya talian Streamyx ini.

p/s: bagi sesiapa yang merasakan talian streamyx kamu begitu lambat, mungkin menggunakan proxy seperti dalam artikel "Fix Your Streamyx Problem Today using TMNET proxy" ini dapat membantu sedikit :)

Friday, February 20, 2009

Perihal "Abu dan Jaket Kataknya"

Abu and his froggy suit sweater hoodies online clothing line

Satu lagi karya vektor bukan sebenar (kerana dilakukan menggunakan photoshop, bukan Ai) yang aku buat secara tidak sengaja hari ini. Aku amat percaya dengan "Inspirasi itu, datangnya tidak boleh dipaksa. Tapi ia boleh dipupuk".

Abu adalah karektor baru aku. ABU, mungkin nama Melayu yang amat tipikal buat kamu semua. Seperti juga Minah, Mat, Ali dan juga Man. Pasti kamu selalu letak nama mereka dalam karangan sekolah rendah bukan?

Aku kurang pasti bila aku membuat lakaran kasar sebagai titik permulaan seni vektor di atas. Mungkin di dalam kelas ketika guru matematik tambahan sedang sibuk mengajar. Mungkin ...

ABU adalah seorang yang sedikit emosional. Seperti juga namanya yang bermaksud "AKU BUKAN UNTUKMU". Seperti lagu indah yang diiringi musik keras. Sangat indah.

Dan dia juga sukakan katak. Dia benci orang yang benci katak. Bila menyanyi, suaranya seperti katak. Tapi tidak apa, katak itu membawa rahmat hujan. Jadi kenapa perlu benci katak?

Selamilah diri katak yang senantiasa dijadikan bahan uji kaji bedah badan di makmal sekolah menengah.

Baiklah, sudah jauh tersasar. Sekian :)

Thursday, February 19, 2009

Perihal "Hi! Nama Aku WOWWA"

wowwa clothing vector art design photoshop

Sedikit perihal hari ini. Mungkin sekadar catatan ringkas ataupun entri menunjuk hebat. Baiklah, aku hanya ingin memperihalkan mengenai desain vector di atas. Aku buat di kala bosan dan tiada akses internet di rumah pada petang tadi kerana modem Celcom Broadband yang maha laju dibawa oleh Boss aku. Aku dan komputer adalah satu gabungan yang tiadalah dapat dipisahkan (sekadar hiperbola). Jadi, tanpa akses internet perisian Adobe Photoshop CS2 (kolot! masih pandang belakangP :p) menjadi teman penghibur diri.

Hi! Nama aku Wowwa. Tiada membawa apa-apa maksud. Dan ya, aku cintakan haiwan. Tidak kiralah haiwan bengis mahupun segedik gadis zaman sekarang. Aku adalah peminat tegar kucing. Mungkin lelaki yang suka kucing akan kelihatan seperti lembut sedikit, tapi aku peduli apa bukan? Meraka patut diberi kasih sayang bukan? Jadi, bersama kita membenci penyeksaan terhadap haiwan. Baiklah, sampai di sini saja sebelum aku akan keluar lebih dari tajuk.

p/s: Aku bercadang untuk mencetak desain sendiri. Mungkin aku boleh berselindung di sebalik nama WOWWA DESIGN. Haha

Wednesday, February 18, 2009

Perihal Sedikit komen mengenai Baju

Masih ingat entri yang lepas berkenaan Baju yang belum sampai? Setelah sabar menunggu, akhirnya item dari Molek Design (MD) Clothing telah selamat tiba pada hari Isnin yang lepas. Dan ini adalah sedikit pendapat aku mengenai item tersebut. Ini merupakan entri yang sedikit ikhlas. Jadi tolong baca dengan nada tenang :)

Molek Design Clothing

Baiklah, item tersebut telah selamat sampai dengan jayanya. Terima Kasih abang posmen !! Di dalam pakej tersebut, terdapat plastik yang mengandungi baju MD Clothing dan satu beg kertas kecil yang mengandungi pelekat. Aku juga pernah dapat beg kertas sebegini daripada Plus Sixty Clothing (+60). Terdapat pelbagai jenis saiz, warna & desain pelekat di dalam beg kertas mini tersebut seperti dalam gambar di atas.

Berbalik kepada item yang telah aku terima iaitu baju MD Clothing desain kod MD-018. Aku sedikit hampa dengan kualiti cetakan pada baju tersebut. Ink warna yang digunakan seperti cat warna air yang bilamana jika anda terlebih masukkan air, warna tersebut menjadi terlalu cair. Ini menyebabkan grafik yang dicetak pada baju tersebut sedikit tidak jelas.

Aku kurang pasti samada memang desain untuk baju tersebut adalah sebegitu ataupun ketidak-mahiran abang kilang membuat silk printing. Tapi satu benda yang aku rasa mempunyai persamaan terhadap baju-baju yang berwarna hitam yang pernah aku beli, semuanya mengalami benda yang sama. Iaitu, ink warna tersebut tidak menyerap sepenuhnya terutama jika menggunakan ink bewarna putih. Ia akan bertukar menjadi warna kelabu dan sedikit bebenang hitam masih jelas nampak pada ink putih. Mungkin normal iaitu ink putih tidak sesuai diguna pakai pada fabrik bewarna hitam. Kes sama pada berlaku pada baju Click A Child hitam putih (yang ini aku maafkan, sekadar beramal ikhlas) aku.

Sekali lagi, aku tersalah saiz. Aku masih keliru samada aku berbadan saiz M ataupun L? Ini adalah kerana sesetengah fabrik M muat pada aku dan kadang-kadang terlalu sempit pula. Aku pernah sekali terpaksa memodifikasi baju Street Signal yang aku beli kerana masalah saiz terlalu besar untuk L. Nasib baik aku dikurniakan sedikit bakat menjahit. Jadi, tiada masalah lah.

Cuma, aku berharap agar warga-warga Malaysia yang mempunyai Local Clothing Line ini akan lebih menjaga kualiti produk anda. Aku adalah insan yang berpegang teguh pada prinsip "Kualiti lebih penting berbanding kuantiti". Aku tak kisah pun kalau harga dia mahal asalkan diri sendiri berpuas hati :)

Jangan risau, aku tetap menyokong kalian semua. Tapi tolonglah, baiki kualiti dari masa ke semasa. Salam sukses

Friday, February 13, 2009

Perihal "Kami nakal tapi tetap berakal"

Tajuk yang sedikit sinikal.

We Noty But We Study T-shirt

Rekabentuk baju yang aku rekakan atas paksaan Jad Hanif untuk kumpulan-entah-apanya di Friendster: We Noty But We Study atau bahasa melayu bakunya "Kami Nakal tapi belajar".

Aku punya sedikit pandangan positif pada kumpulan/komuniti ini. Mesti ada sesuatu yang menarik minat manusia seramai "1028 orang" untuk berdiskusi bersama di dalam komuniti tersebut. Idea nakal tetapi tetap menguji kemampuan akal. Bukan semua orang sempurna. Kenakalan kadang-kadang boleh menjadi pengimbang dalam diri seseorang individu.

Katakan kamu seorang kaki buku yang rajin belajar di dalam kelas, rumah mahupun di tandas. Untuk mengelakkan diri kamu dari digelar 'nerd' ataupun skema, kamu perlukan "nakal" untuk seimbangkan diri sebagai seorang yang kool.

Tapi terlebih nakal tiada membawa manfaat. Sedang-sedang saja.

Berbalik kepada hal desain-mendesain, aku hanya menggunakan design typografi yang minimalis. Atau lebih dikenali sebagai TypeTees di Threadless. Selain itu, sedikit pengabungan elemen 3D turut dicampurkan ke dalam desain ini.

p/s: Lan, aku tiru setayel pamplate baju Im The One That Cacat ko dolok. Sik perlu royalti nak? Haha

Tuesday, February 10, 2009

Perihal barang yang tak sampai

Molek Clothing
Mood ketika ini sedang hampa. Benar juga kata orang, penantian satu penyeksaan. Aku sedang menunggu barang-barang yang telah aku tempah melalui jaring jalur lebar ini untuk sampai ke rumah aku. Salah satunya, t-shirt yang aku telah tempah dari Molek Design yang sudah pastinya melalui Myspace mereka. Dah dua minggu, namun barang tersebut masih belum sampai. Aku perlukan stok baju yang baru di dalam almari baju.

Selain itu, cek bernilai RM100++ juga masih belum kunjung tiba. Nasib baik cek yang satu lagi sudah berjaya dicairkan. Mood membeli-belah semakin membara walaupun disebalik hormon testosteron ini. Aku perlukan benda-benda baru. Tak kisah ekonomi merundum. Siapa yang bagi celaka? (who give a damn?)

Mungkin disebabkan alamat rumah baru sekarang. Alamat yang teramat pelik serta ada beberapa versi yang aku sendiri binggung untuk menggunakannya.

Kuarters sekolah. Dan untuk memeriksa samada ada surat yang sampai atau tidak, aku perlu periksa di pejabat sekolah. Celaka.

Tapi tiada apa-apa efek khas pun, sabar itu separuh dari iman bukan?

Saturday, February 7, 2009

Perihal Aku bukan Fotogenik dan sedikit cerita terkini

Perihal Aku bukan Fotogenik dan sedikit cerita terkini

Aku Bukan Fotogenik. Dan bukan PelacurKamera (terjemahan terus CamWhore). Kesekelian kali terakhir aku menukar Gambar Utama bagi semua profil-profil rangkaian sosial aku adalah pada bulan puasa yang lalu. Juga mungkin kali terakhir berada di depan kamera. Aku mempunyai sedikit perasaan kekok dan malu di hadapan kamera. Tapi aku suka beraksi hebat di belakang kamera.

Samalah seperti kehidupan. Bila di depan cabaran yang sebenar, kita kekok menghadapi serta mengempur cabaran tersebut. Tapi, berasa hebat, megah dan takbur pada perkara yang kecil.

Oh, sedikit lagi berkisar kepada tembakan skrin (screenshot) di atas. Syuxx xSAVEPALESTINx. Sedikit pengcampuran rasa hardcore serta jiwa boikot dan marah terhadap Zionisma. Aku masih teguh lagi dengan prinsip memboikot produk-produk keluaran zionis serta produk bantuan zionis dari sekutunya USA. Tiada maggi, kfc, milo, mcd, starB, coffeB, Jacob's Danone & sekutunya tapi aku masih berdiri teguh di sini. Percayalah, keazaman yang tinggi serta rasa kasihan dan istiqamah yang tinggi akan membantu kamu dalam apa-apa misi yang kamu rasa "AKU BOLEH YO!"

p/s: Aku lebih tegar menggunakan Friendster sebagai rangkaian sosial daripada MukaBuku (FaceBook). Okey, boleh panggil aku kolot sekarang.
pp/s: pautan hxppy.com juga akan membawa kamu ke blog ini.