Friday, February 27, 2009

Perihal "Kemaskini Pelajaran edisi Febuari"

Lebih kurang sembilan bulan lagi sebelum peperiksaan besar yang bakal aku hadapi pada tahun ini yakni, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Aku tahu, inilah kemuncak zaman persekolahan aku yang menilai samada aku telah memanfaatkan sebaiknya pendidikan formal di sekolan selama 11 tahun. Dan sudah pasti, berat beban yang harus dipikul bagi seseorang yang diharapkan oleh ibubapanya untuk berjaya. Aku percaya, ibubapa kamu semua pun pasti mempunyai harapan yang sama untuk kamu bukan?

Jadi, aku tergerak untuk membuat sedikit Perihal Kemaskini Pelajaran aku di dalam blog ini. Sekadar untuk menyedarkan diri bahawa kemajuan haruslah dilakukan. Jadi, Perihal Kemaskini Pelajaran akan aku adakan di laman blog ini setiap bulan.

1. Bahasa Malaysia
Untuk pelajaran Bahasa Melayu, aku perlu lebih fokus dengan lebih lagi pada bahasa tatabahasa. Sememangnya, aku benci untuk mengikut peraturan dalam berbahasa. Lebih-lebih lagi sekiranya kamu terpaksa mengingat apa itu Kata nama, Frasa, Kata Kerja, Kata Ajuk, Kata Mengata dan sebagainya. Tapi aku sangat suka bahagian karangan serta kajian novel (KOMSAS). Menulis tanpa perlu memikirkan tatabahasa secara kritikal adalah lebih menggembirakan. Kadang-kadang bila aku terlalu memberi perhatian terhadap tatabahasa, penggunaan kosa kata serta peribahasa akan berkurangan dalam penulisan aku. Jadi, katakan tidak pada tatabahasa gaya kritikal.

2. Bahasa Inggeris
Aku rasa, aku menghadapi perihal yang sama dengan Bahasa Malaysia untuk Bahasa Inggeris. Penguasaan "grammar" aku adalah sangat minimal. Tapi aku gemar menggunakan glossary yang entah apa dalam essay aku. Ya, aku sangat suka akan pelajaran Bahasa Inggeris. Ada sedikit kegembiraan semasa pelajaran dan pembelajarannya.

3. Matematik
Aku merupakan seorang individu yang sangat benci akan benda yang memerlukan otak aku memproses nombor-nombor secara maksima. Aku rasa, pelajaran matematik aku berada pada tahap yang sangat kritikal. Walaupun boleh lulus, tetapi untuk mencapai tahap cemerlang adalah begitu sukar. Aku tahu kunci kejayaan untuk pelajaran kira-kira adalah dengan membuat latihan yang maha banyak. Aku tahu kuncinya, tapi aku malas untuk mencari pintu tersebut.

4. Matematik Tambahan
Bagi aku, Matematik tambahan adalah lebih senang sedikit berbanding dengan konsep Matematik Moden. Ini adalah kerana kebanyakkan benda yang aku selalu lakukan pada setiap hari sangat berkenaan dengan pelajaran ini. Namun, kelemahan yang aku kenalpasti dalam pelajaran yang ini adalah kesukaran mengingat formula yang harus digunakan. Terutama jurus formula rahsia yang tidak akan dibekalkan dalam kertas ujian kamu. Kuncinya sama juga dengan Matematik Moden. dan, aku malas

5. Biologi
Biologi adalah satu pelajaran yang bagi aku, baik-baik saja. Aku suka biologi kerana ianya bersangkut paut dengan kehidupan kita. Tapi, aku paling benci dengan terma-terma biologi yang perlu di hafal serta di eja dengan betul. Sedikit membosankan untuk menghafal nama-nama yang panjang.

6. Kimia
Pada tahun ini, aku dapat rasakan sedikit percambahan minat aku terhadap pelajaran Kimia ini berbanding pada tahun lepas. Aku telah dapat kuasai untuk bab-bab pada tahun ini. Tapi aku masih tidak pedulikan bab-bab yang aku tinggal-sengajakan pada tahun lepas.

7. Fizik
Aku merupakan seorang yang sangat meminati pelajaran ini. Mungkin sedikit bersangkut paut dengan hormon seorang lelaki yang sukakan benda-benda mesin dan sewaktu dengannya. Sekali lagi, aku sangat teruk dalam pengiraan untuk pelajaran ini. Tapi, selain daripada soalan kira-kira, aku boleh melakukan dengan jayanya.

8. Pendidikan Islam
Bagi aku, ini adalah mata pelajaran yang bonus. Aku anggap, Pendidikan Islam ini seharusnya kita belajar bukan untuk peperiksaan, tapi untuk kehidupan. Dengan itu, kamu boleh hayatinya dengan lebih mendalam iaitu dengan praktikkan apa yang kamu belajar dalam kehidupan seharian. Tapi aku kurang sedikit pada bahagian tajwid serta tulisan jawi. Mungkin itulah akibat tidak khatam Al-Quran sampai umur 17 tahun sekarang. Tapi aku cinta pelajaran.

9. Sejarah
Aku sangat meminati sejarah. Pada pandangan aku, sejarah adalah sesuatu yang setiap orang harus ambil kisah, tetapi tidak menelan sejarah secara bulat-bulat. Yang sukar dalam pelajaran ini adalah untuk mengingati nama orang, nama tempat serta tarikh. Lebih-lebih lagi nama mat salleh dari britain, sepanyol dan sebagainya.

Sebagai konklusinya, aku rasa aku patut berhenti merasa dan terus bertindak. Aku juga perlu berhenti dari terus menerus memberi alasan yang menyebabkan diri aku semakin malas. Selain itu, aku juga perlu mencari rakan-rakan yang gemar belajar. Selain itu, pengurusan masa aku juga harus dibaiki. Disebabkan aku pelajar baru di sekolah baru sekarang, aku ada sedikit perasaan kekok untuk mengajukan soalan kepada guru-guru. Maklumlah, masih belum kenal lagi dengan mendalam karekter-karakter setiap guru.

Oh ya, menaip tentang perihal ini membuat aku teringat pada rakan-rakan seperjuangan di komuniti Malakat92 yang sudah semakin jarang aku jenguk. Mungkin aku patut aktif kembali di sana. Siapa tahu mungkin aku dapat sedikit rahsia dari rakan-rakan bijak di forum itu. Seperti soalan macam-bocor pada PMR yang lalu :)

1 comment:

Sila taipkan komen dengan penuh sopan. Budi bahasa budaya kita bukan? ...